Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Terjemahan Al-Qur'an: Al-'Alaq: 1-5)

Teruskan Perjalanan

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabatnya.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Apa yang penting, dengan kehidupan yang masih ada ini, kita masih berpeluang mencari keampunan daripada Allah dan melakukan segala kebaikan.

Terima kasih Allah di atas segala kurniaMu ini, dan jadilah kehadiran masa ini dan masa yang akan mendatang, adalah bersama-sama dengan keberkatanMu. Agar perjalanan masa, dan perjalanan hidup kami ini, adalah semakin menghampiri keredhaanMu.

Setiap detik yang berlalu adalah sangat berharga. Apatah lagi setiap minit, jam, hari, minggu, bulan atau tahun, nilainya begitu besar kepada kita.

Kalau kita melakukan satu-satu perjalanan ke mana-mana destinasi, seringkali kita mempunyai pilihan, sama ada untuk meneruskan perjalanan atau berpatah balik. Begitu juga kalau kita melakukan sesuatu, selalunya juga kita mempunyai pilihan untuk meneruskannya atau membiarkannya terbengkalai di tengah jalan.

Namun, mengandaikan kehidupan ini sebagai sebuah perjalanan, kita berdepan dengan perjalanan yang kita tiada pilihan untuk keluar dari misi perjalanan ini. Mahu atau tidak, kita diam atau bergerak, kita bertindak atau tidak, sebenarnya kita tetap dalam misi perjalanan kehidupan ini.

Destinasi perjalanan ini cukup jelas, walaupun ada yang keliru atau melupainya sekejap. Semacam berjalan dalam tidur, berjalan tetapi tidak sedar.

Tetapi menariknya tempoh perjalanan ini yang tidak dapat dipastikan. Setiap orang mempunyai tempohnya yang tersendiri.

Jadi persoalannya, mungkinkah destinasi perjalanan itu telah dicapai lebih awal daripada tempoh yang ada? Kalau telah sampai, mengapa ingin teruskan perjalanan dan ke mana pula perjalanan ingin di tuju kerana destinasi akhir telah dicapai?

Maka apakah analogi kehidupan sebagai sebuah perjalanan... sebenarnya suatu analogi yang tidak sesuai sebenarnya?

No comments:

Ihsan Lim

My photo
Taman Maluri, Kuala Lumpur, Malaysia
I'm a Learner, Lecturer, Leader

Cuit-cuit

Jom Solat

Online