Setelah tiga hari anak bongsu kami, Nur Anis Izzati mengalami keadaan gatal-gatal, keadaannya agak membimbangkan. Doktor di klinik swasta mempreskripsinya sebagai kes elergik. Namun hari ini keadaan merah gatal di tengkuk, mata, hidung, mulut, ketiak dan celah paha itu kelihatan lebih menyakitkan. Di tengkuknya kulit mula melecet. Keseluruhan kesakitan ini menjadikan beliau begitu lemah. Oleh itu doktor merujukkan beliau ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut...
Di Wad beliau dimasukkan air, beberapa kali darah diambil untuk ujian, dan mencuci bahagian yang melecek; di samping pengesanan rutin suhu badan, tekanan darah, nadi dan memberi makan ubat.
Sebagai anak bongsu yang manja, beliau selalu menangis apabila menerima rawatan. Malah melihat nurse pun sudah sesuatu yang cukup menakutkan beliau.
Kami masih ingat dikala beliau begitu takut untuk dimasukkan jarum, kami mengajarkan kepadanya agar menyebut "Allahu Akhbar" sambil kami meletakkan tangan di dadanya. Di kala yang lain selalu kami tenangkan beliau dengan mengatakan bahawa sesungguhnya Allah sangat menyayangi beliau. Alunan zikir turut sentiasa diperdengarkan kepadanya.
Setakat manakah anak kecil berusia dua tahun memahami semua itu? Namun itulah yang kami anggap sebagai tamrin kepadanya. Merasai kesusahan dan kesakitan agar beliau menjadi kuat dan tabah menghadapi kehidupan kelak.
Kami juga gembira kerana semuanya menjadi hikmah yang besar, kepada kami jua. Kami juga amat bersyukur kerana Allah menyembuhkannya dengan cepat. Selepas empat hari, wajahnya kembali bersih dan cantik, seolah-olah sakit tersebut dikupas keluar.
(Catatan pengalaman Nur anis Izzati di Wad 8A pada 25 - 29 November 2009 untuk tujuan rawatan Staphylococcal Scalded Skin Syndrome)

No comments:
Post a Comment