
Di antara semalam, hari ini dan esok ... mana yang lebih anda berikan perhatian?
Sebahagian memilih "semalam", walaupun tidak diucapkan. Bayangan semalam seringkali dimainkan semula (playback) di dalam minda mereka. Mereka merasa bertapa rugi kerana tidak melakukan itu dan ini, sehingga hari ini mereka terpaksa menerima keadaan sebegini.
Namun sebahagian besar lebih memikirkan "esok". Mereka merasa hebat kerana menjadi seorang yang futuristik atau bangga kerana mempunyai cita-cita dan impian untuk dicapai. Pakar motivasi sendiri secara mudahnya mempromosikan minda ke hadapan ini.
Sebagai seorang Islam sendiri misalnya, kita ingin melihat kemenangan Islam menjadi realiti di hari esok, agar Islam didaulatkan di bumi tercinta ini.
Kesimpulan ringkasnya, kita bersetuju dengan keperluan untuk meletakkan impian pada hari esok. Kita juga tidak mengatakan salah untuk melihat semalam secara sepintas sebagai pengajaran.
Namun, apa yang lebih penting ialah hari ini, malah masa sekarang ini. Kerana inilah sebenarnya yang kita ada. Inilah sahaja anugerah yang kita boleh manfaatkan.
Semestinya kita perlu melakukan yang terbaik pada masa ini. Kita perlu melakukan perkara-perkara yang betul, kerana melakukan perkara-perkara yang salah bermakna kita mensia-siakan anugerah ini.
Tidak cukup dengan itu, kita perlu mengecapi keindahan masa ini. Biar apapun kerja yang kita lakukan, kita perlu merasai 'kemanisannya'. Janganlah kerana terlalu mengejar perkara yang ingin dilakukan pada masa akan datang, sehingga kita tidak sempat merasa kenikmatan perkara yang kita lakukan sekarang.
Contoh mudah:
- kerana terlalu berkejar-kejar, kita makan dengan sekadar nak telan. Akhirnya kita tidak merasa kesedapan makanan tersebut.
- kerana sibuk dengan kerja, sehingga kita layan acuh tak acuh sahaja orang yang datang menegur kita. Akhirnya kita tidak merasa sebarang sentuhan silaturrahim.
- kerana terlalu memikirkan pasal kerja, kita tidak memerhati keindahan taman yang dilalui. Akhirnya kita tidak dapat melihat keindahan alam.

No comments:
Post a Comment