Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Terjemahan Al-Qur'an: Al-'Alaq: 1-5)

Ni'mat Makan Orang Muda dan Tua

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Alhamdulillah. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, sekalian ahli keluarga dan para sahabatnya.

Aku teringat akan kata-kata bahawa "orang tua nanti akan ditarik ni'mat makannya". Selera akan berkurang, makan sedikit sudah kenyang atau sudah tidak boleh makan itu dan ini.

Ketika itu aku masih muda, yang begitu berselera makan apa sahaja dengan sebanyak manapun. Aku membayang-bayangkan bertapa nanti aku akan mengalami kehilangan ni'mat seperti itu.

Kini aku telah dewasa, dan hampir mencecah usia tua rasanya. Aku mula dapat merasai keadaan 'kehilangan ni'mat makan' yang diceritakan kepada aku dahulu.

Aku menyerap dan cuba memahami erti apa yang sedang berlaku. Benarkah aku telah kehilangan sesuatu? Tidak sukar rasanya untuk aku mengaku, "Ya benar aku kehilangan perkara itu".

Tapi soal seterusnya adakah kehilangan itu menyebabkan ni'mat ke atasku telah berkurang. Aku mengatakan "Tidak!". Kerana secara keseluruhannya aku seolah-olah digantikan dengan banyak ni'mat lain. Sebahagiannya ni'mat baru yang begitu indah, yang tidak aku dapati ketika aku menjadi orang muda dahulu.

Misalnya aku merasa lebih tenang, mengecapi keindahan suasana dan wawasan impian masa hadapan serta keindahan interaksi dan komunikasi.

Maka, dalam memahami fenomena ini, apa yang boleh aku katakan adalah keutamaan nilai telah berubah dengan usia. Ketika kanak-kanak keseronokan bermain adalah kemuncak keni'matan, kemudian bila remaja kemuncaknya adalah makan, dan seterusnya ketika dewasa mungkin ni'mat berjalan-jalan melihat tempat orang.

Sesungguhnya Allah menjadi proses pergerakan usia sebagai suatu proses yang indah...

Meningkatkan Keupayaan

Dimulai dengan nama Allah. Selawat dan Salam kepada Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya.

Dalam pembangunan sumber manusia, satu aspek yang penting adalah meningkatkan keupayaan organisasi. Ini boleh dicapai melalui dua cara iaitu
(i) menguruskan sumber yang ada sebaiknya dan
(ii) meningkatkan keupayaan setiap anggota organisasi

Banyak perkara yang tidak boleh kita lakukan tanpa memiliki keupayaan.

(i) Misalnya seruan mengeluarkan zakat dan haji tidak dapat dilaksakan oleh mereka yang tidak mempunyai kemampuan kewangan.

(ii) Perintah untuk menegakkan hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa ada kerajaan yang berkeupayaan.

(iii) Perintah berjihad tidak mampu dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai keupayaan jiwa yang rendah.

(iv) Perintah membangunkan tamadun tidak dapat dilakukan oleh satu masyarakat yang tidak memiliki keupayaan ilmu, kemahiran dan kerjasama.

Maka adalah penting untuk kita sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan diri dan organisasi.

Erti Musibah

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya dan sekalian para sahabatnya.

"Tak ada seorang pun menginginkan tertimpa musibah. Tak juga seorang pun dapat menghindari musibah. Semua musibah memang pahit bagi manusia, tetapi khasiat musibah itu bagi manusia akan tergantung pada bagaimana manusia itu mengolah, menghayati dan meresponinya. Artinya hidup kita tidak ditentukan oleh musibah yang menimpa kita, tetapi akan ditentukan oleh apa yang akan kita lakukan terhadap musibah itu." (http://fai-kao.com/node/1201)

Memandangkan kita tidak dapat lari daripada musibah. Dan musibah itu sesuatu yang pahit rasanya. Maka adalah penting untuk memahami erti sebuah musibah!

Apabila berlaku sesuatu musibah, selalu kita mendengar orang berkata "Adalah hikmah di sebaliknya".

Kita sangat mengakui bahawa musibah itu adalah untuk kebaikan kita. Cuma kalau direnung-renung perkataan 'hikmah' yang dikatakan ada bersama-sama musibah itu kadang-kadang terasa macam pelik juga. Apatah lagi makna hikmah yang luas dalam kontek ilmu dan kebijaksanaan. Namun tidaklah bermakna ungkapan itu ada kesalahan. Penulis buku yang saya sertakan pun menggunakan ungkapan yang hampir sama.

Al-Qur'an secara jelas mengajar kita, apabila ditimpa musibah berkatalah "Daripada Allah kita datang, dan kepadaNya kita akan dikembalikan".

Maksudnya, Allah memberikan musibah kepada kita adalah untuk membantu kita 'kembali kepadaNya'. Kerana seringkali kita bergerak jauh dariNya lantaran terlupa, tetapi Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, membimbing kita untuk kembali semula kepadaNya.

Dan apakah yang lebih baik, selain kembali kepadaNya?

Mengurus Ketidaksefahaman

Dimulai dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW dan sekalian ahli keluarganya.

1. Bagaimana anda ingin menguruskan sesuatu keputusan yang kita perlu terima tetapi tidak bersetuju dengan keputusan tersebut atau mempunyai pendekatan yang berbeza?

2. Dari aspek kumpulan, perkara ini mungkin berlaku kerana:

a) Tiada proses perbincangan yang terperinci atau ruang perbincangan yang secukupnya.

b) Berbeza kefahaman kepada konsep dan falsafah teras.

3. Di sinilah pentingnya apa yang dinamakan 'kesefahaman fikiran' dan 'keselarian tindakan' - yang memrlukan kepada proses pembentukan kumpulan yang berterusan.

4. Untuk memudahkan cerita pendekatan 'redho' dan berdiam diri adalah paling ringkas dan mudah. Namun perlu dilihat kepada asas mengapa timbul perasaan ini, yang boleh jadi kerana

a) kepentingan diri sendiri - misalnya kerana merasa diri tidak dihargai

b) kepentingan umum - misalnya mempunyai hujah yang kuat bahawa cadangan yang ingin diterima tersebut perlu diubahsuai dan dikaji lebih lanjut.

5. Di sinilah penting apa yang dinamakan keikhlasan bahawa semua itu kerana Allah semata-mata.

6. Dalam menyampaikan hujah rasional pula, cara berhujah perlu dititik beratkan. Inilah yang dinamakan kecerdasan emosi (EQ).

Memberi


Dimulai dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Bayangkan apa akan terjadi pada sesuatu kelompok kalau masing-masing setiap ahlinya memberi...

Kalau yang diberi itu wang ringgit, nescaya kelompok itu akan mengumpul dana yang besar.

Kalau yang diberi itu usaha demi usaha, nescaya kelompok itu akan mencapai sesuatu yang hebat.

Pendek kata kalau masing-masing memberi, maka kelompok itu memiliki kekayaan atau kekuatan yang besar.

Bagaimana sekiranya dalam kes seorang atau sebahagian daripada kelompok itu berkeadaan lemah dan tidak mampu memberi pada saat itu?

Ternyata dengan keadaan setiap yang lain terus memberi, menyokong dan membantu, maka yang lemah tadi akan cepat pulih, kembali kuat, untuk kembali memberi.

Bayangkan pula bagaimana kalau si lemah tadi diminta itu dan ini. Pastinya tiada apa yang mampu diberi dalam keadaan seperti itu. Langsung akan memanjangkan tempoh lemahnya.

Tenyata bertapa indahnya budaya memberi...

Saat Ini...


Alhamdulillah. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga baginda; sebagaimana ke atas Nabi Ibrahim dan ahli keluarga baginda.

Kadang-kadang hati kita merasa resah. Dan begitu merindukan sebuah ketenangan. Keadaan ini mungkin boleh digambarkan oleh petikan lagu Secerah Pawarna, The Zikr seperti berikut.

Seindah sedamai pantai melambai gemalai
Begitulah hati merindu kasih yang padu
Bagaikan pepasir basah di simbah lautan
Begitulah perjuangan ini
Biar basah dengan iman dan ukhwah

Kita ingin segalanya indah
Sebersih pasir pantai memutih
Seindah dan secerah pewarna
Berseri ukhwah dipupuk kasih

Kita ingin segala terlerai
Dengki dan dendam kesumat musnah
Biar keihklasan berbicara
Di dada hati luas saujana

Namun itulah kita sebagai manusia yang telah Allah maklumkan dalam Al Qur'an surat Al Maarij ayat 19, "Bahwa sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah dan apabila mendapat kebaikan ia amat kikir."

Itulah suatu sifat jiwa kita. Kejayaan kita mengurus diri kita bergantung kepada sejauh mana kita memahami kejuruteraan insan diri kita. Dan siapa lagi yang lebih mengetahui tentang kejuruteraan insan kecuali yang menciptakanya, iaitu Allah.

Terdapat suatu doa yang diajar oleh Baginda SAW: Ya Allah bantulah aku berzikir kepadaMu, bersyukur kepadaMu dan sebaik-baik ibadat kepadaMu.

Bukankah semua ini mengajar ini untuk hidup pada saat ini. Bukanya terlalu terkesan dengan semalam atau bimbang akan esok hari.

Fokus

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabatnya. Diucapkan salam perjuangan kepada semua yang mencintai Allah dan RasulNya.

Kanta pembesar, pernah kita gunakan dalam eksperimen sains semasa di sekolah rendah dahulu. Antaranya, menyalakan mancis dengan menumpukan cahaya matahari. Cahaya yang difokuskan ini mempunyai kekuatan yang berganda dan sehingga mampu menyalakan mancis tersebut.

Kita juga pernah menyaksikan latihan dan perlawanan senibela diri seperti kung fu, silat, shoalin dan seumpanya... jelas memperlihatkan 'fokus' sebagai suatu elemen penting untuk menang.

Permainan golf, bowling, billiad dan carom misalnya, sangat mementingkan kepada fokus. Dan di dalam pelbagai arena lagi seperti menembak, memanah dan termasuk membaca, isu fokus menjadi keutamaan.

Begitu juga dalam kehidupan atau pekerjaan yang kita buat sehari-hari. We need to focus!

Orang yang tidak fokus dalam apa jua yang dilakukannya, tidak akan mampu menghasilkan suatu kesan, apatah lagi membawa perubahan.

Apa yang dimaksudkan dengan fokus?
  • kenalpasti apa yang perlu dibuat (betul dan penting)
  • tidak menerawang kepada perkara lain (salah dan tidak penting)

Biasanya orang yang fokus banyak berfikir, kurang bercakap dan tekun dalam melakukan kerjanya.

Memperbanyakkan Masa

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sekalian sahabatnya.

Terima kasih Allah di atas sekalian banyak ni'matMu. Kami berdoa agar dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit, di kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur.

Setiap kita diberikan masa yang sama, iaitu 24 jam sehari semalam. Tidak ada orang yang masanya lebih. Begitu juga dengan mereka yang hidup di zaman dahulu, pergerakan masa tetap sama.

Persoalannya mengapa ada orang yang tidak cukup masa, dan ada pula yang lebih masa?

Mengapa ada yang merasakan masa bergerak terlalu cepat, manakala ada pula yang merasakan masa bergerak terlalu perlahan? Sehingga ada yang mengira bahawa pergerakan masa zaman sekarang lebih laju berbanding pergerakan masa zaman dahulu.

Mengapa ada orang yang terlalu sibuk, manakala ada pula yang terlalu lapang?

Mengapa ada orang yang mampu melakukan sekalian banyak kerja, manakala ada pula yang satu kerja pun tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang sama?

Namun, rata-rata kita yang telah matang dalam hidup, seringkalinya berangan "alangkah baiknya kalau aku mendapat tambahan masa". Manakan tidak, bertimbun kerja yang tersenarai belum disiapkan...

Maka, percayalah... sekiranya kita benar-benar serius untuk mendapatkan lebih masa dalam hidup... Dirikanlah solat fardu di awal waktu, dan lakukan juga solat-solat sunat yang lain.

Mendirikan solat fardu di awal waktu adalah kunci kepada keberhasilan pengurusan masa. Sila alami sendiri. Inilah di antara rahsia solat dan waktu.

Individu yang Bekerja Kuat


Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Segala puji bagiNya pemilik sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sekalian para sahabatnya.

Bagi memajukan organisasi daripada satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi, organisasi tersebut mesti memiliki individu-individu yang bekerja kuat.

Kelompok kecil inilah yang menjadi teras kepada perubahan demi perubahan.

Individu ini memiliki kualiti diri yang melangkaui dua isu normal.

Isu normal yang pertama ialah kelengkapan fizikal yang ideal. Kenkangan keperluan fizikal yang sebahagiannya dianggap perkara asas, seringkali dijadikan alasan oleh kebanyakan pekerja tidak dapat menghasilkan sesuatu kerja yang lebih produktif.

Isu normal yang kedua ialah sistem ganjaran. Kononnya sistem yang tidak jelas akan menyebabkan pekerja tidak bermotivasi dan tidak mempunyai sasaran untuk dicapai.

Namun individu cemerlang yang disebutkan tadi, terus berkerja kuat, melintasi dua garis normal tadi. Mengapa? Mungkin masih terdapat perbezaan jawapan, tetapi apa yang penting sikap yang hebat ini tetap diteruskan!

Maka semakin ramai individu seperti ini wujud di dalam satu-satu organisasi, semakin berpotensi organisasi itu untuk maju!

Kehidupan Satu Perjuangan

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Segala puji bagiNya pemilik sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sekalian para sahabatnya.

Sekadar menganalogikan kehidupan sebagai sebuah perjalanan akan menemukan kita kepada beberapa perkara yang sukar dijelaskan.

Lebih mudah, kehidupan dianalogikan sebagai satu perjuangan. Diri kita adalah seumpama seorang daripada tentera yang berjuang. Perjuangan ini atau peperangan ini, adalah sesuatu yang besar. Tidak pernah berakhir sejak kejadian manusia pertama sehinggalah kepada matinya kesemua manusia di atas muka bumi ini.

Peperangan ini juga berlarutan sepanjang masa. Ada kalanya pasukan kita menang dan di ketika yang lain pula kita dikalahkan.

Kita pula, sebagai seorang pejuang, adalah seorang daripada ribuan atau jutaan tentera yang lain. Dan kita yang berada di zaman ini adalah meneruskan perjuangan pasukan terdahulu. Dan selepas ini juga akan terus ada pasukan lain yang meneruskan perjuangan.

Maka, analogi ini meletakkan kita hidup bukan semata-mata untuk diri kita sahaja atau untuk mencapai misi personal sahaja.

Namun kita mempunyai misi besar iaitu misi ummah... iaitu kemenangan Islam. Di samping itu, ianya selari dengan misi personal iaitu... mendapatkan keampunan Allah. Sebagai warganegara atau sebagai pekerja kepada mana-mana organisasi... selari dengan misi ini, kita mempunyai misi iaitu membina suatu kelompok yang mencipta tamadun ke arah misi besar dan bersama misi personal.

Teruskan perjuangan yang indah ini.

Agama, Negara dan Bangsa

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Alhamdulillah.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabatnya.
Serta doa kesejahteraan kepada semua yang mencintai Allah dan RasulNya.

Saya memilih ungkapan "Agama, Negara dan Bangsa" dalam meletakkan keutamaan tiga elemen besar pada setiap individu. Agama first, negara second and Bangsa third.

Mengapa Negara lebih saya utamakan daripada Bangsa?

Kita ditakdirkan berada dalam suatu batasan geografi yang dinamakan negara. Melalui negara kita mampu menyusun kehidupan bermasyarakat. Melalui negara kita dapat membentuk identiti kita. Melalui negara kita mampu menentukan arah tuju kita, bekerja keras dan membentuk satu tamadun.

Apalah sangat pentingnya identiti bangsa yang kita miliki. Apakah yang boleh dibanggakan oleh seseorang berbangsa Cina dan India? Penyanjungan bangsa ini hanya mengaitkan mereka dengan dua buah negara besar di kiri dan kanan kita iaitu China dan India.

Bangsa Melayu, Kadazan, Dayak dan pribumi lain pula setakat boleh berbangga dengan sejarah yang berunsur pemilikan. Tapi untuk apa sebenarnya? Bukankah yang penting ialah kita dapat menjadi rakyat yang saling berkerjasama dan membentuk negara yang maju.

Mengapa Agama di kedudukan pertama?

Agama di sini merujuk kepada Agama Islam. Bukankah agama yang mengajar segala-galanya. Mengajar kita untuk menjadi warganegera yang bertanggungjawab.

Hanyasanya agama yang mengajar segala nilai yang baik. Hanya agama yang mengajar erti sebenar untuk apa kita lakukan semua ini. Hanya agama mengajar kita tentang ketuhanan dan erti pengabdian yang sebenar.

Teruskan Perjalanan

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabatnya.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Apa yang penting, dengan kehidupan yang masih ada ini, kita masih berpeluang mencari keampunan daripada Allah dan melakukan segala kebaikan.

Terima kasih Allah di atas segala kurniaMu ini, dan jadilah kehadiran masa ini dan masa yang akan mendatang, adalah bersama-sama dengan keberkatanMu. Agar perjalanan masa, dan perjalanan hidup kami ini, adalah semakin menghampiri keredhaanMu.

Setiap detik yang berlalu adalah sangat berharga. Apatah lagi setiap minit, jam, hari, minggu, bulan atau tahun, nilainya begitu besar kepada kita.

Kalau kita melakukan satu-satu perjalanan ke mana-mana destinasi, seringkali kita mempunyai pilihan, sama ada untuk meneruskan perjalanan atau berpatah balik. Begitu juga kalau kita melakukan sesuatu, selalunya juga kita mempunyai pilihan untuk meneruskannya atau membiarkannya terbengkalai di tengah jalan.

Namun, mengandaikan kehidupan ini sebagai sebuah perjalanan, kita berdepan dengan perjalanan yang kita tiada pilihan untuk keluar dari misi perjalanan ini. Mahu atau tidak, kita diam atau bergerak, kita bertindak atau tidak, sebenarnya kita tetap dalam misi perjalanan kehidupan ini.

Destinasi perjalanan ini cukup jelas, walaupun ada yang keliru atau melupainya sekejap. Semacam berjalan dalam tidur, berjalan tetapi tidak sedar.

Tetapi menariknya tempoh perjalanan ini yang tidak dapat dipastikan. Setiap orang mempunyai tempohnya yang tersendiri.

Jadi persoalannya, mungkinkah destinasi perjalanan itu telah dicapai lebih awal daripada tempoh yang ada? Kalau telah sampai, mengapa ingin teruskan perjalanan dan ke mana pula perjalanan ingin di tuju kerana destinasi akhir telah dicapai?

Maka apakah analogi kehidupan sebagai sebuah perjalanan... sebenarnya suatu analogi yang tidak sesuai sebenarnya?

Dimulai dengan nama Allah


Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha pengasih. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, sekalian sahabatnya dan seluruh yang mencintai baginda.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, pencipta dan pemelihara alam ini.

Tahun baru, 1431 atau 2010, telah menjadi tidak begitu baru lagi. Tetapi syukur kita masih berada di dalam bulan yang pertama.

Masih belum terlewat untuk kita menyemak azam tahun baru yang telah kita buat. Adakah ianya telah ditulis dengan jelas atau sekadar harapan-harapan yang kabur dibiarkan berlegar di dalam fikiran.

Kedua, dan lebih penting ialah, bagaimana perlaksanaanya? Adakah telah terlihat perubahan-perubahan yang berlaku daripada azam tersebut?

Bercakap soal perubahan, Islam telah meletakkan falsafah yang begitu mudah dan cukup komprehensif ... "hari ini seharusnya lebih baik daripada semalam".

Banyak yang berlaku adalah prestasi yo yo, iaitu kadang-kadang prestasi tinggi, kadang-kadang rendah dan selalu juga tiada prestasi atau produktiviti langsung.


Dari 2009 melangkah ke 2010

1. Tahun 2009 akan melabuhkan tirainya dalam beberapa hari lagi. Pastinya dalam tempoh setahun itu adanya pelbagai kejayaan, kenangan dan usaha yang bermakna.

2. Oleh itu biasanya ramai yang mengimbas kembali tahap pencapaian atau dalam erti kata lain melakukan muhasabah. Seterusnya mungkin ada yang menyimpulkan dengan pertanyaan “Apakah pencapaian yang diraih setimpal dengan potensi diri yang ada?”

3. Tahun 2010 akan menjelang. Ramai yang telah mula sibuk merangka azam tahun baru. Diari dan planner bagi tahun 2010 telah banyak terjual bagi membolehkan azam dan perancangan tersebut dicatatkan.

4. Lebih maju, ada yang menggunakan analisis yang lebih canggih untuk melangkah ke tahun baru ini, misalnya SWOT (Strength, Weakness, Opportunity, Threat).

5. Teras kepada perkara ini, baik azam, resolusi, muhasabah dan seumpanya ... ialah perubahan. Apa yang kita inginkan adalah perubahan.

6. Lebih tepat kalau perubahan yang kita hasratkan bersandarkan kepada impian yang kita ingin capai dalam hidup kita.

7. Oleh itu, azam tahun baru, kalau ianya dilakukan dengan baik, adalah untuk mensetkan pencapaian dalam setahun ke arah mencapai azam hidup secara seluruhnya.

Selamat berazam dan berjaya...

Penulisan berpusatkan Intelektual atau Emosi

Gaya A (berpusatkan intelektual)

1. Pernahkah kita melihat seseorang mengibas dengan tanganya sendiri untuk menghilangkan kepanasan?

2. Apakah ini akan memberi kesan untuk mengurangkan kepanasan yang dirasai?

3. atau sebenarnya menambahkan lagi kepanasan kerana pergerakkan tangan tersebut menjana haba?

4. Jadi apa sebenarnya yang perlu dilakukan?

5. Hanyalah sebuah kesabaran...


Gaya B (berpusatkan emosi)

Di sana terlihat seseorang mengibas-ngibas tangan kerana kepanasan. Kelihatan peluh mengalir dan mukanya yang semakin merah.

Mungkin disebabkan keadaan itulah tangannya terus mengibas tanpa sedar bahawa sebenarnya tiada angin yang mampu dihasilkan untuk menyejukkan kepanasan itu. Malah kibasan itu mungkin akan menyebabkan badan terasa semakin panas kerana pergerakkan otot-otot tangan yang berterusan menghasilkan tenaga haba.

Maka terdetik didalam hati, oleh itu apa yang seharusnya beliau lakukan, atau kita sendiri jika berada dalam keadaan sebegitu. Mungkin tangan tidak perlu digerakkan, sebaliknya yang hanya perlu digerakkan ialah sebuah kesabaran...

Mengapa mereka hebat?


1. Bill Gate, Donald Trump, Dell dan Lim Kok Wing adalah di antara nama-nama usahawan yang hebat.

2. Malah ada di antara mereka yang tidak menghabiskan pengajian atau tahap pengajian rendah sahaja tetapi berjaya membangun empayar perniagaan yang besar.

3. Persoalannya ialah apakah faktor atau keistimewaan yang ada pada diri mereka? Adakah mereka mempunyai genetik special?

4. Namun persoalan yang lebih penting ialah bolehkah kita menjadi seperti mereka?

5. Satu kaedah mengatakan bahawa sekiranya kita mampu memahami bagaimana mereka berfikir dan bertindak; dan meniru perkara tersebut; maka kita boleh melakukan seperti apa yang mereka lakukan!

6. Pendapat pertama mengatakan terdapat tiga resipi asas untuk mencapai apa-apa kejayaan. Iaitu bakat, sikap dan latihan/pendidikan. (Bakat adalah 100% faktor genetik, Sikap adalah gabungan genetik dan pengubahsuaian, dan latihan adalah usaha terancang yang boleh dilakukan).

7. Pendapat kedua mengatakan terdapat dua faktor kejayaan iaitu ability (keupayaan) dan attitude (sikap). Kedua-dua faktor ini boleh ditingkatkan melalui proses latihan dan pendidikan serta pengaruh persekitaran.

8. Pendapat ketiga mengatakan terdapat tiga sumber asas untuk kejayaan ialah Intelligent Quotient, Emotional Quotient dan Spiritual Quotient.

9. Secara mudahnya untuk mencapai pencapaian yang tinggi, kita perlu memilih bidang yang bertepatan dengan kemampuan kita dan seterusnya membangunkannya dengan kaedah yang terbaik.

Tamrin di Wad


Setelah tiga hari anak bongsu kami, Nur Anis Izzati mengalami keadaan gatal-gatal, keadaannya agak membimbangkan. Doktor di klinik swasta mempreskripsinya sebagai kes elergik. Namun hari ini keadaan merah gatal di tengkuk, mata, hidung, mulut, ketiak dan celah paha itu kelihatan lebih menyakitkan. Di tengkuknya kulit mula melecet. Keseluruhan kesakitan ini menjadikan beliau begitu lemah. Oleh itu doktor merujukkan beliau ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut...

Di Wad beliau dimasukkan air, beberapa kali darah diambil untuk ujian, dan mencuci bahagian yang melecek; di samping pengesanan rutin suhu badan, tekanan darah, nadi dan memberi makan ubat.

Sebagai anak bongsu yang manja, beliau selalu menangis apabila menerima rawatan. Malah melihat nurse pun sudah sesuatu yang cukup menakutkan beliau.

Kami masih ingat dikala beliau begitu takut untuk dimasukkan jarum, kami mengajarkan kepadanya agar menyebut "Allahu Akhbar" sambil kami meletakkan tangan di dadanya. Di kala yang lain selalu kami tenangkan beliau dengan mengatakan bahawa sesungguhnya Allah sangat menyayangi beliau. Alunan zikir turut sentiasa diperdengarkan kepadanya.

Setakat manakah anak kecil berusia dua tahun memahami semua itu? Namun itulah yang kami anggap sebagai tamrin kepadanya. Merasai kesusahan dan kesakitan agar beliau menjadi kuat dan tabah menghadapi kehidupan kelak.

Kami juga gembira kerana semuanya menjadi hikmah yang besar, kepada kami jua. Kami juga amat bersyukur kerana Allah menyembuhkannya dengan cepat. Selepas empat hari, wajahnya kembali bersih dan cantik, seolah-olah sakit tersebut dikupas keluar.

(Catatan pengalaman Nur anis Izzati di Wad 8A pada 25 - 29 November 2009 untuk tujuan rawatan Staphylococcal Scalded Skin Syndrome)

Suara Ihsan


Pada hari ini, sekali lagi nama blog ini ditukar. Nama yang dipilih adalah "Suara Ihsan". Dua makna dalam satu nama, kerana memang nama penulis adalah Ihsan dan kedua kerana makna Ihsan itu sendiri.

Penulisan kali ini juga mempunyai senggang waktu yang agak lama dengan posting terdahulu, lebih kurang sebulan lamanya.

Apapun, sehingga ke saat ini saya masih tidak berkongsi secara terbuka blog ini dengan rakan-rakan. Memandangkan kepada proses pemantapan kandungan dan kekerapan. Oleh itu ia masih ditahap sebagai penulisan untuk koleksi pribadi.

(Gambar yang disertakan adalah gambar keluarga 3 tahun yang lepas, anak bongsu Anis Izzati, 2 tahun, tiada lagi pada masa itu)

Edit Gambar guna PhotoScape

Setelah mencari-cari, akhirnya satu ditemui...

PhotoScape adalah perisian percuma yang boleh didownload bagi mengedit gambar dengan mudah dan pantas. Berbagai kemudahan ada padanya.

Berikut adalah beberapa gambar yang asalnya bersaiz sehingga 2560 x 1920 pixel (sekitar 2,400 KB) diedit kepada saiz sekitar 400 x 300 pixel (sekitar 20 KB) sahaja.

Antara software lain yang boleh didownload secara percuma ialah Magic Photo Editor, Photobie, FxFoto dan PhotoPerfect.

Bagi proses editing yang simple, mencukupi untuk menggunakan software yang ringkas seperti ini. Bagi tujuan advance kenalah gunakan Adobe Photoshop dan seangkatan denganya.



Mengapa menulis di Blog?


Penulis-penulis blog ternama biasanya terdiri daripada orang-orang yang telah mempunyai nama seperti pemimpin atau bekas pemimpin. Misalnya Datuk Sri Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir, Lim Kit Siang dan Ust. Nasarudin Tantawi.

Pandangan yang ditulis akan dibaca secara terus oleh sasaran tanpa sebarang tapisan dan suntingan. Inilah kelebihan blog yang telah berfungsi sebagai media yang penting. Sebaris dan kadang-kala mengatasi media massa dan media elektronik.

Di samping blogger yang mengulas tentang isu semasa, terdapat juga blogger yang memberi tumpuan kepada isu-isu tertentu misalnya pengurusan, kepimpinan, pendidikan dan seumpanya.

Ihsan Lim

My photo
Taman Maluri, Kuala Lumpur, Malaysia
I'm a Learner, Lecturer, Leader

Cuit-cuit

Jom Solat

Online