
Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada tahun 2003 oleh kerajaan semasa Tun Dr. Mahathir sebagai PM adalah dasar yang tidak berasas.
Tun sendiri cuba berhujah di atas kewajaran dasar PPSMI tersebut yang diperkenalkan oleh beliau, namun ianya begitu lemah walaupun cuba dioleh dengan yakin dan selambanya.
Hujah-hujah yang menyokong PPSMI adalah umpama cuba "menegakkan benang yang basah".
Di sebelah pihak lagi terdapat ribuan hujah yang yang menolak dasar PPSMI. Malahan hujah-hujah ini dosokong oleh penyelidikan saintifik dan asas teori yang kukuh dan didokongi oleh pakar-pakar pelbagai bidang. Ini belum mengambil kira hujah orang kampung yang berasaskan ilmu logik dan mantik.
Tun selalu berhujah bahawa Sains dan Matematik adalah bahasa yang selalu berkembang, maka kita perlukan PPSMI. Tetapi apa yang ingin kita ajarkan di peringkat sekolah adalah asas ilmu sains dan matematik yang telah mantap bukan perkembangan teknologi semasa.
Tun berhujah bahawa penggunaan PPSMI tidak akan menjejaskan BM yang sepatutnya ditekankan termasuk pengajaran sastera. Namun sedarkan Tun sekiranya diteruskan PPSMI, tiada siapa lagi akan merasa penting BM kerana fokus sepenuhnya pada BI.
Tun berhujah PPSMI akan membantu penguasaan pelajar dalam matematik dan sains itu sendiri, dan kalau ada masalah kita boleh guna teknologi. Namun kajian peringkat dunia dan kampung menunjukkan bahawa pelajar lebih mudah faham matematik dan sains yang diajar dalam bahasa sendiri. Dan sedarkan tun tentang keterbatasan teknologi dalam pembelajaran.
Tun juga berhujah bahawa PPSMI tidak mendatangkan masalah kerana lihat sahaja pencapaian cendikiawan kita di kalangan orang kampung dan Melayu. Bukankan mereka itu (termasuk aku) dahulunya belajar matematik dan sains dalam BM dan telah terbukti tiada masalah untuk mereka menguasai ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.
Mengakhiri sokongan untuk memansuhkan PPSMI, adalah hujah Prof Ungku Aziz yang mengatakan bahawa matematik dan sains mempunyai bahasanya yang tersendiri, bukan BI bukan BM dsb. Jadi apa yang penting adalah mengajar pelajar untuk memahami bahasa tersebut mengikut bahasa yang mudah difahami.
7.18 - 7.40 pm (22 min)

No comments:
Post a Comment