Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Terjemahan Al-Qur'an: Al-'Alaq: 1-5)

Fokus

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabatnya. Diucapkan salam perjuangan kepada semua yang mencintai Allah dan RasulNya.

Kanta pembesar, pernah kita gunakan dalam eksperimen sains semasa di sekolah rendah dahulu. Antaranya, menyalakan mancis dengan menumpukan cahaya matahari. Cahaya yang difokuskan ini mempunyai kekuatan yang berganda dan sehingga mampu menyalakan mancis tersebut.

Kita juga pernah menyaksikan latihan dan perlawanan senibela diri seperti kung fu, silat, shoalin dan seumpanya... jelas memperlihatkan 'fokus' sebagai suatu elemen penting untuk menang.

Permainan golf, bowling, billiad dan carom misalnya, sangat mementingkan kepada fokus. Dan di dalam pelbagai arena lagi seperti menembak, memanah dan termasuk membaca, isu fokus menjadi keutamaan.

Begitu juga dalam kehidupan atau pekerjaan yang kita buat sehari-hari. We need to focus!

Orang yang tidak fokus dalam apa jua yang dilakukannya, tidak akan mampu menghasilkan suatu kesan, apatah lagi membawa perubahan.

Apa yang dimaksudkan dengan fokus?
  • kenalpasti apa yang perlu dibuat (betul dan penting)
  • tidak menerawang kepada perkara lain (salah dan tidak penting)

Biasanya orang yang fokus banyak berfikir, kurang bercakap dan tekun dalam melakukan kerjanya.

Memperbanyakkan Masa

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sekalian sahabatnya.

Terima kasih Allah di atas sekalian banyak ni'matMu. Kami berdoa agar dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit, di kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur.

Setiap kita diberikan masa yang sama, iaitu 24 jam sehari semalam. Tidak ada orang yang masanya lebih. Begitu juga dengan mereka yang hidup di zaman dahulu, pergerakan masa tetap sama.

Persoalannya mengapa ada orang yang tidak cukup masa, dan ada pula yang lebih masa?

Mengapa ada yang merasakan masa bergerak terlalu cepat, manakala ada pula yang merasakan masa bergerak terlalu perlahan? Sehingga ada yang mengira bahawa pergerakan masa zaman sekarang lebih laju berbanding pergerakan masa zaman dahulu.

Mengapa ada orang yang terlalu sibuk, manakala ada pula yang terlalu lapang?

Mengapa ada orang yang mampu melakukan sekalian banyak kerja, manakala ada pula yang satu kerja pun tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang sama?

Namun, rata-rata kita yang telah matang dalam hidup, seringkalinya berangan "alangkah baiknya kalau aku mendapat tambahan masa". Manakan tidak, bertimbun kerja yang tersenarai belum disiapkan...

Maka, percayalah... sekiranya kita benar-benar serius untuk mendapatkan lebih masa dalam hidup... Dirikanlah solat fardu di awal waktu, dan lakukan juga solat-solat sunat yang lain.

Mendirikan solat fardu di awal waktu adalah kunci kepada keberhasilan pengurusan masa. Sila alami sendiri. Inilah di antara rahsia solat dan waktu.

Individu yang Bekerja Kuat


Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Segala puji bagiNya pemilik sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sekalian para sahabatnya.

Bagi memajukan organisasi daripada satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi, organisasi tersebut mesti memiliki individu-individu yang bekerja kuat.

Kelompok kecil inilah yang menjadi teras kepada perubahan demi perubahan.

Individu ini memiliki kualiti diri yang melangkaui dua isu normal.

Isu normal yang pertama ialah kelengkapan fizikal yang ideal. Kenkangan keperluan fizikal yang sebahagiannya dianggap perkara asas, seringkali dijadikan alasan oleh kebanyakan pekerja tidak dapat menghasilkan sesuatu kerja yang lebih produktif.

Isu normal yang kedua ialah sistem ganjaran. Kononnya sistem yang tidak jelas akan menyebabkan pekerja tidak bermotivasi dan tidak mempunyai sasaran untuk dicapai.

Namun individu cemerlang yang disebutkan tadi, terus berkerja kuat, melintasi dua garis normal tadi. Mengapa? Mungkin masih terdapat perbezaan jawapan, tetapi apa yang penting sikap yang hebat ini tetap diteruskan!

Maka semakin ramai individu seperti ini wujud di dalam satu-satu organisasi, semakin berpotensi organisasi itu untuk maju!

Kehidupan Satu Perjuangan

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Segala puji bagiNya pemilik sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sekalian para sahabatnya.

Sekadar menganalogikan kehidupan sebagai sebuah perjalanan akan menemukan kita kepada beberapa perkara yang sukar dijelaskan.

Lebih mudah, kehidupan dianalogikan sebagai satu perjuangan. Diri kita adalah seumpama seorang daripada tentera yang berjuang. Perjuangan ini atau peperangan ini, adalah sesuatu yang besar. Tidak pernah berakhir sejak kejadian manusia pertama sehinggalah kepada matinya kesemua manusia di atas muka bumi ini.

Peperangan ini juga berlarutan sepanjang masa. Ada kalanya pasukan kita menang dan di ketika yang lain pula kita dikalahkan.

Kita pula, sebagai seorang pejuang, adalah seorang daripada ribuan atau jutaan tentera yang lain. Dan kita yang berada di zaman ini adalah meneruskan perjuangan pasukan terdahulu. Dan selepas ini juga akan terus ada pasukan lain yang meneruskan perjuangan.

Maka, analogi ini meletakkan kita hidup bukan semata-mata untuk diri kita sahaja atau untuk mencapai misi personal sahaja.

Namun kita mempunyai misi besar iaitu misi ummah... iaitu kemenangan Islam. Di samping itu, ianya selari dengan misi personal iaitu... mendapatkan keampunan Allah. Sebagai warganegara atau sebagai pekerja kepada mana-mana organisasi... selari dengan misi ini, kita mempunyai misi iaitu membina suatu kelompok yang mencipta tamadun ke arah misi besar dan bersama misi personal.

Teruskan perjuangan yang indah ini.

Agama, Negara dan Bangsa

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Alhamdulillah.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabatnya.
Serta doa kesejahteraan kepada semua yang mencintai Allah dan RasulNya.

Saya memilih ungkapan "Agama, Negara dan Bangsa" dalam meletakkan keutamaan tiga elemen besar pada setiap individu. Agama first, negara second and Bangsa third.

Mengapa Negara lebih saya utamakan daripada Bangsa?

Kita ditakdirkan berada dalam suatu batasan geografi yang dinamakan negara. Melalui negara kita mampu menyusun kehidupan bermasyarakat. Melalui negara kita dapat membentuk identiti kita. Melalui negara kita mampu menentukan arah tuju kita, bekerja keras dan membentuk satu tamadun.

Apalah sangat pentingnya identiti bangsa yang kita miliki. Apakah yang boleh dibanggakan oleh seseorang berbangsa Cina dan India? Penyanjungan bangsa ini hanya mengaitkan mereka dengan dua buah negara besar di kiri dan kanan kita iaitu China dan India.

Bangsa Melayu, Kadazan, Dayak dan pribumi lain pula setakat boleh berbangga dengan sejarah yang berunsur pemilikan. Tapi untuk apa sebenarnya? Bukankah yang penting ialah kita dapat menjadi rakyat yang saling berkerjasama dan membentuk negara yang maju.

Mengapa Agama di kedudukan pertama?

Agama di sini merujuk kepada Agama Islam. Bukankah agama yang mengajar segala-galanya. Mengajar kita untuk menjadi warganegera yang bertanggungjawab.

Hanyasanya agama yang mengajar segala nilai yang baik. Hanya agama yang mengajar erti sebenar untuk apa kita lakukan semua ini. Hanya agama mengajar kita tentang ketuhanan dan erti pengabdian yang sebenar.

Teruskan Perjalanan

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabatnya.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Apa yang penting, dengan kehidupan yang masih ada ini, kita masih berpeluang mencari keampunan daripada Allah dan melakukan segala kebaikan.

Terima kasih Allah di atas segala kurniaMu ini, dan jadilah kehadiran masa ini dan masa yang akan mendatang, adalah bersama-sama dengan keberkatanMu. Agar perjalanan masa, dan perjalanan hidup kami ini, adalah semakin menghampiri keredhaanMu.

Setiap detik yang berlalu adalah sangat berharga. Apatah lagi setiap minit, jam, hari, minggu, bulan atau tahun, nilainya begitu besar kepada kita.

Kalau kita melakukan satu-satu perjalanan ke mana-mana destinasi, seringkali kita mempunyai pilihan, sama ada untuk meneruskan perjalanan atau berpatah balik. Begitu juga kalau kita melakukan sesuatu, selalunya juga kita mempunyai pilihan untuk meneruskannya atau membiarkannya terbengkalai di tengah jalan.

Namun, mengandaikan kehidupan ini sebagai sebuah perjalanan, kita berdepan dengan perjalanan yang kita tiada pilihan untuk keluar dari misi perjalanan ini. Mahu atau tidak, kita diam atau bergerak, kita bertindak atau tidak, sebenarnya kita tetap dalam misi perjalanan kehidupan ini.

Destinasi perjalanan ini cukup jelas, walaupun ada yang keliru atau melupainya sekejap. Semacam berjalan dalam tidur, berjalan tetapi tidak sedar.

Tetapi menariknya tempoh perjalanan ini yang tidak dapat dipastikan. Setiap orang mempunyai tempohnya yang tersendiri.

Jadi persoalannya, mungkinkah destinasi perjalanan itu telah dicapai lebih awal daripada tempoh yang ada? Kalau telah sampai, mengapa ingin teruskan perjalanan dan ke mana pula perjalanan ingin di tuju kerana destinasi akhir telah dicapai?

Maka apakah analogi kehidupan sebagai sebuah perjalanan... sebenarnya suatu analogi yang tidak sesuai sebenarnya?

Dimulai dengan nama Allah


Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha pengasih. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, sekalian sahabatnya dan seluruh yang mencintai baginda.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, pencipta dan pemelihara alam ini.

Tahun baru, 1431 atau 2010, telah menjadi tidak begitu baru lagi. Tetapi syukur kita masih berada di dalam bulan yang pertama.

Masih belum terlewat untuk kita menyemak azam tahun baru yang telah kita buat. Adakah ianya telah ditulis dengan jelas atau sekadar harapan-harapan yang kabur dibiarkan berlegar di dalam fikiran.

Kedua, dan lebih penting ialah, bagaimana perlaksanaanya? Adakah telah terlihat perubahan-perubahan yang berlaku daripada azam tersebut?

Bercakap soal perubahan, Islam telah meletakkan falsafah yang begitu mudah dan cukup komprehensif ... "hari ini seharusnya lebih baik daripada semalam".

Banyak yang berlaku adalah prestasi yo yo, iaitu kadang-kadang prestasi tinggi, kadang-kadang rendah dan selalu juga tiada prestasi atau produktiviti langsung.


Ihsan Lim

My photo
Taman Maluri, Kuala Lumpur, Malaysia
I'm a Learner, Lecturer, Leader

Cuit-cuit

Jom Solat

Online