Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Terjemahan Al-Qur'an: Al-'Alaq: 1-5)

Ni'mat Makan Orang Muda dan Tua

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Alhamdulillah. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, sekalian ahli keluarga dan para sahabatnya.

Aku teringat akan kata-kata bahawa "orang tua nanti akan ditarik ni'mat makannya". Selera akan berkurang, makan sedikit sudah kenyang atau sudah tidak boleh makan itu dan ini.

Ketika itu aku masih muda, yang begitu berselera makan apa sahaja dengan sebanyak manapun. Aku membayang-bayangkan bertapa nanti aku akan mengalami kehilangan ni'mat seperti itu.

Kini aku telah dewasa, dan hampir mencecah usia tua rasanya. Aku mula dapat merasai keadaan 'kehilangan ni'mat makan' yang diceritakan kepada aku dahulu.

Aku menyerap dan cuba memahami erti apa yang sedang berlaku. Benarkah aku telah kehilangan sesuatu? Tidak sukar rasanya untuk aku mengaku, "Ya benar aku kehilangan perkara itu".

Tapi soal seterusnya adakah kehilangan itu menyebabkan ni'mat ke atasku telah berkurang. Aku mengatakan "Tidak!". Kerana secara keseluruhannya aku seolah-olah digantikan dengan banyak ni'mat lain. Sebahagiannya ni'mat baru yang begitu indah, yang tidak aku dapati ketika aku menjadi orang muda dahulu.

Misalnya aku merasa lebih tenang, mengecapi keindahan suasana dan wawasan impian masa hadapan serta keindahan interaksi dan komunikasi.

Maka, dalam memahami fenomena ini, apa yang boleh aku katakan adalah keutamaan nilai telah berubah dengan usia. Ketika kanak-kanak keseronokan bermain adalah kemuncak keni'matan, kemudian bila remaja kemuncaknya adalah makan, dan seterusnya ketika dewasa mungkin ni'mat berjalan-jalan melihat tempat orang.

Sesungguhnya Allah menjadi proses pergerakan usia sebagai suatu proses yang indah...

Meningkatkan Keupayaan

Dimulai dengan nama Allah. Selawat dan Salam kepada Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya.

Dalam pembangunan sumber manusia, satu aspek yang penting adalah meningkatkan keupayaan organisasi. Ini boleh dicapai melalui dua cara iaitu
(i) menguruskan sumber yang ada sebaiknya dan
(ii) meningkatkan keupayaan setiap anggota organisasi

Banyak perkara yang tidak boleh kita lakukan tanpa memiliki keupayaan.

(i) Misalnya seruan mengeluarkan zakat dan haji tidak dapat dilaksakan oleh mereka yang tidak mempunyai kemampuan kewangan.

(ii) Perintah untuk menegakkan hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa ada kerajaan yang berkeupayaan.

(iii) Perintah berjihad tidak mampu dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai keupayaan jiwa yang rendah.

(iv) Perintah membangunkan tamadun tidak dapat dilakukan oleh satu masyarakat yang tidak memiliki keupayaan ilmu, kemahiran dan kerjasama.

Maka adalah penting untuk kita sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan diri dan organisasi.

Erti Musibah

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya dan sekalian para sahabatnya.

"Tak ada seorang pun menginginkan tertimpa musibah. Tak juga seorang pun dapat menghindari musibah. Semua musibah memang pahit bagi manusia, tetapi khasiat musibah itu bagi manusia akan tergantung pada bagaimana manusia itu mengolah, menghayati dan meresponinya. Artinya hidup kita tidak ditentukan oleh musibah yang menimpa kita, tetapi akan ditentukan oleh apa yang akan kita lakukan terhadap musibah itu." (http://fai-kao.com/node/1201)

Memandangkan kita tidak dapat lari daripada musibah. Dan musibah itu sesuatu yang pahit rasanya. Maka adalah penting untuk memahami erti sebuah musibah!

Apabila berlaku sesuatu musibah, selalu kita mendengar orang berkata "Adalah hikmah di sebaliknya".

Kita sangat mengakui bahawa musibah itu adalah untuk kebaikan kita. Cuma kalau direnung-renung perkataan 'hikmah' yang dikatakan ada bersama-sama musibah itu kadang-kadang terasa macam pelik juga. Apatah lagi makna hikmah yang luas dalam kontek ilmu dan kebijaksanaan. Namun tidaklah bermakna ungkapan itu ada kesalahan. Penulis buku yang saya sertakan pun menggunakan ungkapan yang hampir sama.

Al-Qur'an secara jelas mengajar kita, apabila ditimpa musibah berkatalah "Daripada Allah kita datang, dan kepadaNya kita akan dikembalikan".

Maksudnya, Allah memberikan musibah kepada kita adalah untuk membantu kita 'kembali kepadaNya'. Kerana seringkali kita bergerak jauh dariNya lantaran terlupa, tetapi Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, membimbing kita untuk kembali semula kepadaNya.

Dan apakah yang lebih baik, selain kembali kepadaNya?

Mengurus Ketidaksefahaman

Dimulai dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW dan sekalian ahli keluarganya.

1. Bagaimana anda ingin menguruskan sesuatu keputusan yang kita perlu terima tetapi tidak bersetuju dengan keputusan tersebut atau mempunyai pendekatan yang berbeza?

2. Dari aspek kumpulan, perkara ini mungkin berlaku kerana:

a) Tiada proses perbincangan yang terperinci atau ruang perbincangan yang secukupnya.

b) Berbeza kefahaman kepada konsep dan falsafah teras.

3. Di sinilah pentingnya apa yang dinamakan 'kesefahaman fikiran' dan 'keselarian tindakan' - yang memrlukan kepada proses pembentukan kumpulan yang berterusan.

4. Untuk memudahkan cerita pendekatan 'redho' dan berdiam diri adalah paling ringkas dan mudah. Namun perlu dilihat kepada asas mengapa timbul perasaan ini, yang boleh jadi kerana

a) kepentingan diri sendiri - misalnya kerana merasa diri tidak dihargai

b) kepentingan umum - misalnya mempunyai hujah yang kuat bahawa cadangan yang ingin diterima tersebut perlu diubahsuai dan dikaji lebih lanjut.

5. Di sinilah penting apa yang dinamakan keikhlasan bahawa semua itu kerana Allah semata-mata.

6. Dalam menyampaikan hujah rasional pula, cara berhujah perlu dititik beratkan. Inilah yang dinamakan kecerdasan emosi (EQ).

Memberi


Dimulai dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Bayangkan apa akan terjadi pada sesuatu kelompok kalau masing-masing setiap ahlinya memberi...

Kalau yang diberi itu wang ringgit, nescaya kelompok itu akan mengumpul dana yang besar.

Kalau yang diberi itu usaha demi usaha, nescaya kelompok itu akan mencapai sesuatu yang hebat.

Pendek kata kalau masing-masing memberi, maka kelompok itu memiliki kekayaan atau kekuatan yang besar.

Bagaimana sekiranya dalam kes seorang atau sebahagian daripada kelompok itu berkeadaan lemah dan tidak mampu memberi pada saat itu?

Ternyata dengan keadaan setiap yang lain terus memberi, menyokong dan membantu, maka yang lemah tadi akan cepat pulih, kembali kuat, untuk kembali memberi.

Bayangkan pula bagaimana kalau si lemah tadi diminta itu dan ini. Pastinya tiada apa yang mampu diberi dalam keadaan seperti itu. Langsung akan memanjangkan tempoh lemahnya.

Tenyata bertapa indahnya budaya memberi...

Saat Ini...


Alhamdulillah. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga baginda; sebagaimana ke atas Nabi Ibrahim dan ahli keluarga baginda.

Kadang-kadang hati kita merasa resah. Dan begitu merindukan sebuah ketenangan. Keadaan ini mungkin boleh digambarkan oleh petikan lagu Secerah Pawarna, The Zikr seperti berikut.

Seindah sedamai pantai melambai gemalai
Begitulah hati merindu kasih yang padu
Bagaikan pepasir basah di simbah lautan
Begitulah perjuangan ini
Biar basah dengan iman dan ukhwah

Kita ingin segalanya indah
Sebersih pasir pantai memutih
Seindah dan secerah pewarna
Berseri ukhwah dipupuk kasih

Kita ingin segala terlerai
Dengki dan dendam kesumat musnah
Biar keihklasan berbicara
Di dada hati luas saujana

Namun itulah kita sebagai manusia yang telah Allah maklumkan dalam Al Qur'an surat Al Maarij ayat 19, "Bahwa sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah dan apabila mendapat kebaikan ia amat kikir."

Itulah suatu sifat jiwa kita. Kejayaan kita mengurus diri kita bergantung kepada sejauh mana kita memahami kejuruteraan insan diri kita. Dan siapa lagi yang lebih mengetahui tentang kejuruteraan insan kecuali yang menciptakanya, iaitu Allah.

Terdapat suatu doa yang diajar oleh Baginda SAW: Ya Allah bantulah aku berzikir kepadaMu, bersyukur kepadaMu dan sebaik-baik ibadat kepadaMu.

Bukankah semua ini mengajar ini untuk hidup pada saat ini. Bukanya terlalu terkesan dengan semalam atau bimbang akan esok hari.

Ihsan Lim

My photo
Taman Maluri, Kuala Lumpur, Malaysia
I'm a Learner, Lecturer, Leader

Cuit-cuit

Jom Solat

Online